Binatang juga ceria atas kehadiran insan mulia.
Profil
·
Berasal daripada Bani Sa’ad bin Bakr.
·
Tinggal di tengah suku Badwi bersama suaminya
al-Harits.
·
Ibu susuan Rasulullah SAW selepas Tsuwaibah
(hamba Abu Lahab) dan Ummu Aiman (wanita Habsyah, hamba Abdullah).
·
Mengajar Rasulullah SAW erti kasih sayang dan
kefasihan bahasa.
·
Halimah juga mengasuh Abu Sufyan bin Harits bin
Abdul Muthalib.
·
Halimah As-Sa’diyah juga menyusukan Hamzah bin
Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah), hingga menjadikan Hamzah itu saudara
susuan baginda.
·
Halimah meninggal di Madinah dan dikuburkan di
perkuburan Baqi’.
Meredah Kemarau yang Melelahkan
“Waaaaaaaaaaaaaaa!”
Tangisan
bayi berjangkit-jangkitan. Seorang demi seorang bayi menangis kelaparan.
Wanita-wanita Bani Saad keresahan. Kelopak mata tidak mampu terlena meskipun
malam semakin tua. Rasa simpati kepada si bayi meruntun hati. Bunyi bising
merodok telinga sehingga pagi.
Mereka meneruskan
musafir yang panjang tatkala mentari memancar alam. Tanpa tidur yang mencukupi.
Bayi-bayi mereka meragam sepanjang perjalanan. Ibu mereka yang kehausan dan
kelaparan mana mungkin dapat menghasilkan susu yang mencukupi?
“Sabarlah, sayang.
Susu ibu kering,” pujuk wanita Bani Saad. Menagih secebis pengertian daripada bayi
yang belum mengerti.
“Bila
agaknya kita akan sampai ke Kota Makkah?” hati mereka tertanya-tanya.
Setiap
kali menapak, mereka sangat berharap agar hujan segera turun. Harapan berbalas
kecewa. Hujan yang dinanti tidak kunjung tiba. Musim kemarau sedang melanda.
Jasa Keldai Lemah dan Unta Tua
Halimah
Sa’diyah bersama suami dan bayinya turut menyertai rombongan itu. Perjalanan
meredah lautan pasir pada musim kemarau sungguh getir. Rasa dahaga mencekik.
Rasa lapar menyambar. Rasa letih menggigit.
Keldai tunggangan
Halimah berjalan terkedek-kedek lantaran tiada tenaga. Begitu juga unta tua
tunggangan suaminya. Terhuyung-hayang melangkah. Terpaksa berkerja dalam
keadaan lapar dan dahaga. Kerap kali mereka ketinggalan jejak rombongan di
hadapan.
Bayi Halimah
menangis lemah. Sudah penat merayu susu ibunya. Bukan Halimah tidak bagi, cuma susunya
sedikit sekali. Halimah menepuk-nepuk paha bayinya. Cuba memujuk.
Halimah juga
simpati kepada keldai tunggangannya. Andai ia mati, perjalanannya ke Makkah
tambah sukar. Apakan daya, dia hanya mampu berharap dan terus berharap.
Kalaulah ketika itu jiwanya sudah mengenal Tuhan yang esa, sudah tentu jiwanya
terasa kaya berharap pada yang Maha Kuasa.
Rombongan Bani
Saad akhirnya tiba di Makkah. Mereka meneguk puas-puas air zam-zam yang tidak
pernah kering dari sumbernya. Air itu telah berjasa kepada jutaan manusia.
Ibu Susuan Bani Saad Menjadi Rebutan
Penduduk Quraisy
menyambut meriah kedatangan Bani Saad. Mereka berebut-rebut menawarkan bayi
mereka untuk dijadikan anak susuan. Mereka tahu bahawa ibu-ibu susuan Bani Saad
mempunyai reputasi baik dalam menyusukan bayi sejak turun-temurun.
Antara tujuan
utama kaum Quraisy mengupah ibu susuan ialah kerana mereka ingin mengajar anak
mereka fasih berbahasa Arab seperti golongan Badwi. Tambahan pula, mereka yakin
dan percaya hidup secara nomad di gurun pasir boleh melatih seseorang anak
berjiwa kental. Masakan tidak, kaum Quraisy pernah hidup secara nomad sebelum menetap
di sekitar kaabah di bawah pimpinan Qussai.
Selain itu, Makkah
yang dikunjungi oleh pelbagai bangsa berisiko membawa virus buat bayi. Wabak
penyakit yang sering melanda Makkah telah menyebabkan kematian ramai bayi.
Mereka tidak mahu wabak itu turut menimpa bayi mereka.
Bayi Aminah Terpinggir
Aminah hadir
di celah-celah kaumnya. Sebagai ibu, dia juga mahukan yang terbaik untuk
bayinya. Aminah bersungguh-sungguh menawarkan bayinya kepada wanita Bani Saad.
“Siapa
ayahnya?”
“Maaf,
dia anak yatim.”
Tiada
seorangpun wanita Bani Saad sudi mengambil bayi Aminah yang bernama Muhammad
itu. Mereka mengharapkan upah yang banyak daripada ayah bayi yang disusui.
Mereka tidak yakin terhadap ibu dan datuk si bayi mampu menyediakan imbalan
setimpal.
Halimah
turut keberatan mengambil Muhammad sebagai bayi susuannya. Kemiskinannya
menghambat rasa simpati. Dia berharap ada bayi lain yang lebih menjanjikan
keuntungan.
Aminah
kesedihan. Dia pulang kembali membawa Muhammad tersayang. Dia kasihan melihat
si bayi yatim itu dipinggirkan. Air matanya berguguran. Jika Muhammad terus di
sini, entah apa akan berlaku kepadanya. Mungkin diserang wabak kemudian mati
kesakitan. Hati ibu kebimbangan.
Dia Tetap Sudi Tatkala Si Bayi Yatim Dijauhi
Beberapa waktu
berada di Makkah, rombongan Bani Saad kini ingin berangkat pergi. Halimah melihat rakan-rakan seperjalanan sudahpun
mengendong bayi susuan masing-masing. Hanya dirinya yang masih bersama bayi
kandung.
Halimah
lalu berkata kepada suaminya, “Dinda tidak mahu pulang tanpa membawa bayi
susuan. Dinda akan terima bayi yatim tempohari.”
Al-Harits
menyokong padu.
“Bagus.
Semoga anak itu membawa berkah bagi kita.”
Halimah
lalu menemui Aminah di rumahnya. Siap membawa Muhammad bersamanya meskipun
masih dengan rasa terpaksa. Ternyata wajah Aminah sangat gembira. Senyumannya
penuh makna.
Hati
Halimah berbisik, “Sungguh aku menerima bayi ini kerana tiada bayi susuan
lain.”
Peristiwa Ajaib Bersama Si Bayi Berkat
Kali pertama
menyusui Muhammad, susu Halimah menjadi sangat banyak dan lancar. Halimah
terkejut. Peristiwa ajaib berlaku juga kepada untanya.
Suaminya al-Harits
terduduk sukar percaya apabila mendapati unta mereka yang sudah kurus kering,
kantung susunya gemuk dan penuh. Padahal, sebelum ini tiada setitis susupun
yang keluar.
Al-Harits
memerah susu unta itu. Mereka minum hingga kenyang. Mereka tidur lena pada
malam hari. Tiada lagi bunyi bingit tangisan sang bayi.
Kata
Al-Harits kepada isterinya, “Demi Tuhan, sungguh dinda telah menerima bayi yang
berkat.”
“Mudah-mudahan,”
jawab Halimah terharu.
Keajaiban tidak
terhenti di situ. Keldai tua yang ditunggang oleh Halimah mampu berjalan cepat,
bahkan memintas semua keldai-keldai lain. Sampaikan rombongannya terpaksa
berkata,
“Tunggu kami,
Halimah!”
Mereka sangat
hairan lalu bertanya,
“Ini keldai yang
sama atau keldai yang lain?”
“Ya, keldai yang
sama,” jawab Halimah.
Mereka berkata,
“Pasti ada sesuatu yang terjadi pada keldaimu. Luar biasa!”
(bersambung)
9 Comments
wah....keberkatan seorang rasul mulia..
ReplyDelete*juga blh pelajari sedikit tntang ibu susuan nabi dlm lagu nasyid halimatus sa'diyah..inteam kalau xsilap..
*baru baca tautan hati..~teringat pula dkt kak fatimah syarha =)
salam kak ha.. mohon cepat sambungannya.. sudah x sabar.. =)
ReplyDeletesubhanallahh maha suci Allah...salam kak fatimah cpt2 sambung xsabar nk tunggu selanjutnya... huhuhu
ReplyDeleteBaru ni baca kisah ni secara lbh trperinci camni..tk sbr nk baca sambungannya..
ReplyDeletesalam ustzh fatimah..
ReplyDeletebaru baca buku cinta high class..mmg high class , alhamdulillah..
doakan saya supaya boleh mencontohi akhlak qani'ah syumaila :)
terima kasih ustzah krna dah membahagiakan hari saya dengan cinta high class
sayang ustazah :)
Alhamdulillah.. terima kasih banyak Ustazah atas entri ini. menguatkan lagi hati ini untuk menyusukan sendiri zuriat saya nanti berbanding memberi susu tin yang begitu banyak di luar sana. Subhanallah wanita quraisy sendiri sangat berpegang teguh untuk memberi susu terbaik dunia ini kpd anak mereka...wanita zaman ini seharusnya lebih lagi..Allah Allah...terima kasih Allah...
ReplyDeletesalam di mana saya boleh membaca sambungan kisah ni?
ReplyDeletehttp://sebarkanbahagia.blogspot.com/2012/07/pakar-bedah-ghaib.html
DeleteAlhamdulillah.... berkat seorang insan yg bernama Rasulullah.. rasa teramat rindu pd Baginda...moga kte antara orang yg mendapat syafaat baginda..
ReplyDelete