Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'...
Pakar Bedah Ghaib Menggerunkan Halimah
Kambingpun Ceria
Warna
alam berubah daripada kuning kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di
kampung halaman. Tanah tandus menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi
kambing-kambingnya terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan.
Halimah menjengukkan kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut
melihat kantung susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta
diperah. Halimah melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak
bertenaga.
“Keberkatan apakah
ini?” Halimah teruja.
Hari seterusnya,
jiran-jiran Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing
Halimah digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada
kambing mereka juga.
Kampung Bani Saad Menjadi Subur
Selama 2 tahun
bayi kecil bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu
dilimpahi rezeki yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing
kurus menjadi gemuk. Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum
dengan Muhammad. Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain
susu ibu hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia
dua tahun, dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah
menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah
kepada Muhammad semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji.
Halimah tahu dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.
Berwawasan Jauh
Sepanjang
perjalanan menuju ke Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak
sanggup untuk berpisah dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh
naluri kasih bahkan juga kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia
membesar di Makkah.
Saat berjumpa
Aminah, Halimah merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir
lingkungan Makkah akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang
ibu yang sangat cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan
Muhammad sekali lagi. Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia
kagumi sikap Halimah yang berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai
Muhammad membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih
fasih dan lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa
pengunjung kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan
vaksin, penyakit senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan
putera tercinta kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata
sangat gembira.
Malaikat Pakar Bedah
Putera Halimah
berlari tergopoh-gapah. Badannya seram
sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!”
Dari jauh dia menjerit-jerit.
Halimah dan
suaminya mendapatkan puteranya itu.
“Ibu, ayah,
Muhammad ditangkap dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu
perutnya dibuka. Kedua orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu
anak Halimah.
Halimah dan
suaminya cemas. Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka
mendapati Muhammad berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan.
Halimah mendakapnya.
“Apa yang terjadi,
nak?” tanya Halimah.
Muhammad
bercerita, “Saya didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan,
lalu mereka membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan
suaminya membawa Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan
Muhammad.
Suaminya berbisik,
“Abang takut anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada
keluarganya sebelum dia menjadi gila.”
Terdengar Petanda Kenabian
Halimah dan
suaminya bergegas ke Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6
tahun. Mereka berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad
kepada Aminah.
Aminah kehairanan.
Dia berkata,
“Bukankah dulu
kamu merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab,
“Saya takut terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga
dengan kenyataan itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya
telah berlaku ke atas Muhammad.
“Dia pernah
disentuh jin,” cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin!
Jin dan syaitan tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai
keistimewaan sejak sebelum dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah
mengangguk. Aminah lalu bercerita,
“Saat aku
mengandungkannya, ada cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu,
aku mampu melihat istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan,
seakan tidak hamil. Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur,
kepalanya mendongak ke langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan
Thabrani).
Halimah
kemudiannya pulang dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.
Halimah di Hati Nabi
Muhammad kini
menginjak dewasa. Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal
ketika dia berusia 6 tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah
dengan puteri bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
Selang
beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira
dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani
Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
Khadijah
mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti
dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah
menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
Halimah
terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan
kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim.
Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang
diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering
datang di luar jangka.
Anak Susuannya Seorang Nabi
Siapa tidak
bangga jika anak yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah
lebih layak berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang
Nabi dan Rasul terakhir.
Selepas
terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya.
Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori
silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa
Muhammad.
Rasulullah
menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain
serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia
itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
Halimah
meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.
3 Comments
Allahurabbi
ReplyDeleteSalam Ustazah,
ReplyDeleteSangat seronok bila baca cerita-cerita Nabi dari ustazah. Mohon sangat jasa baik ustazah.. Kalau ustazah boleh cadangkan satu buku Sirah Rasulullah yang ustazah rasa agak lengkap dan sangat menarik untuk dibaca. Berharap dapat membaca dan menghayatinya supaya boleh jadi cerita/kisah terhebat untuk diceritakan pada anak2 bila mereka besar kelak. Sekarang ni banyak buku sirah Nabi di pasaran, rambang mata untuk memilih. Saya nak istiqamah habiskan satu buku insyaAllah. Jazakallah ustazah.
menarik cara penceritaan ustazah. anak- anak mesti suka.
ReplyDelete