Wanita dan Gajet
Hadiah Istimewa
Krekkk…
Terdengar bunyi roda-roda pagar
bergeseran. Diikuti bunyi tayar menggilis bumi. Masuk ke perkarangan rumah. Saya
cepat-cepat menyembur diri dengan perfume
ekor kijang. Tersenyum di muka pintu.
“Selamat
hari lahir, sayang!” Ucap suami sambil menghulurkan sebungkus hadiah. Wajahnya cerah. Saya terharu dengan kebaikan
suami. Tak kira pada hari istimewa atau hari-hari biasa, ada-ada sahaja
hadiahnya untuk keluarga. Ya Allah, ganjari ketulusan cintanya.
“Gajet?!
Alhamdulillah. Tq, cik abang sayang.”
Saya
pernah terfikir untuk membeli telefon bimbit pintar dan komputer tablet. Kata
pakar-pakar gajet, belilah gajet berdasarkan aplikasi apa yang paling kita
perlukan. Pilihan individu berbeza-beza dalam soal ini. Kebanyakan gajet yang
saya jumpa menggunakan sistem sentuh skrin. Ia kurang praktikal untuk menaip
karya. Jari-jemari saya mudah lenguh.
Maka, saya tidak jadi membelinya.
Tidak terduga saya menerima sebuah
tab yang memiliki sistem kombinasi antara sentuh skrin dan keyboard hari ini. Kecil.
Comel. Praktikal. Senang dibawa. Senyuman
saya melebar ke telinga. Roh yang serasi menyebabkan suami selalu memahami apa
yang saya perlukan.
“Moga
sayang dapat berkarya lebih prolifik untuk ummat,” kata suami.
Terima-kasih
buatmu imam. Dia tidak sekadar memberi hadiah. Bahkan mendidik cara menggunakan
hadiah itu. Akhlaknya membuatkan si penerima tidak terleka dengan hadiah.
Bahkan semakin sayang kepada si pemberi hadiah. Inilah akhlak yang akan saya
terapkan buat anak-anak saya nanti.
Katakan ‘Ya’ Pada
Kemodenan
Gajet
oh gajet. Ada pelbagai gajet yang canggih-canggih hari ini. Antara gajet yang
popular di Malaysia dewasa ini ialah Samsung Galaxy S2, Samsung Galaxy Tab,
Blackberry Playbook, Ipad 2, Iphone 4, Nokia N9, Sony Vaio, PSP 2, Ipod Nano
dan Nokia E66.
Gajet-gajet ini tidak salah. Kita
yang suka menggunakannya secara salah. Jika ia dimanfaatkan untuk Islam, ia
akan menjadi suatu alat menenun pahala. Pilihan di tangan masing-masing. Kita
akan bertanggung jawab dengan pilihan itu.
Gajet
perkara harus. Seperti harusnya wanita membeli seluar legging, kebaya ketat,
dan baju seksi. Jika dipakai untuk suami, tiada salahnya. Tapi jika dipakai di
depan lelaki bukan mahram, hukum harus bertukar menjadi haram.
Kata
al-Qaradhawi, Ketua Ikatan Ulama Sedunia, “Katakan ya kepada ‘kemodenan’.
Katakan ‘tidak’ kepada pembaratan.” Gajet meskipun kebanyakannya daripada
Barat, ia sebahagian daripada kemodenan. Dekat dengan roh ‘kemudahan’ bagi
ummat. Firman Allah SWT, “Allah mahukan kemudahan bagimu. Allah tidak mahukan
kesusahan bagimu.” (Al-Baqarah: 185).
Ada Baik dan Buruk
Dengan adanya pelbagai gajet yang
canggih, kita mudah keluar ke dunia tanpa sempadan. Berkomunikasi. Mencari
maklumat. Menurut seorang professor, kehadiran teknologi terkini jika
dimanfaatkan, ia boleh merealisasikan roh keadilan dalam Islam. Bukan orang
besar-besar saja boleh bersuara. Bahkan individu juga berhak menyurakan
pendapatnya dengan lebih luas. Suara golongan bawahan senang didengari dan
diambil kira.
Namun,
jika penggunaan gajet itu disalahguna, hukum asalnya harus akan bertukar
menjadi hukum yang lain. Contoh penyalahgunaan gajet ialah mencemarinya dengan
nilai-nilai negatif kebaratan. Mengambil
kesempatan untuk bergaul bebas. Berkhalwat di alam maya. Menikmati lagu-lagu
pembangkit syahwat. Menonton filem-filem porno. Bertukar-tukar benda lucah.
Mengutuk. Menghina. Mengumpat. Memfitnah dan sebagainya.
Kita
perlu ‘tahu’ menilai mana manfaat dan mana mudarat. Mana pahala, mana maksiat.
Tambahkan ilmu. Barulah kita ‘mahu’ memilih mana yang boleh menyelamatkan kita
daripada seksa neraka. Bahkan menambahkan saham ke syurga.
Rujukan: gambar gajet
5 Comments
Assalamu'alaikum, Ustazah.
ReplyDeleteNak tanya, apa tu perfume ekor kijang? :)
perfume 'musk' kew????..
DeleteMinyak wangi kasturi ke?
DeleteNak beli jugak.
Tapi tak tahu minyak wangi kasturi brand apa yang asli.
Ustazah guna brand apa? :)
Assalamualaikum Ustazah..
ReplyDeletewaa..bru berangan2 nk gadget tu..Ustazah dapat dulu..Alhamdulillah..hehe.
Syukur, melalui gadget jugaklah kita saling ingat mengingati/nasihat menasihati ke jalan yg diredhai Allah. Jadikan gadget kita penuh barakah supaya long lasting. Yg tak barakah tu yg terhempas skit dah pecah berderai dll. wallahualam :)
ReplyDeletehttp://nuhaapparels.blogspot.com
https://facebook.com/nuhaapparels.