Kusangka Panas Hingga
Ke Petang…
“Niat
saya ikhlas pilih suami beragama. Dia hafaz al-Quran. Saya ingat dia boleh
bimbing saya. Tapi…” tangis seorang wanita teresak-esak. Berkali-kali dia mengesat
air mata dengan lengan baju. Anak kecilnya yang belum mengerti berhenti menyusu.
Tidak berkelip melihat ibunya.
Dua
tahun lalu, wanita ini bernikah di Thailand tanpa restu ibubapanya. Sebagai
penjawat awam, dia ada kemampuan ekonomi. Maka, dialah yang menanggung segala
perbelanjaan.
Bahtera pernikahan dikemudi. Baru
dia tahu penangan samudera rumah tangga. Baru dia tahu bahawa titik awal
pernikahan mengesani sepanjang perjalanan selepas itu. Tanpa sokongan keluarga,
suaminya mudah memperguna. Kerjanya, asyik mengikis duit isteri.
Tidak cukup dengan itu, si suami
telah meniru tanda tangannya. Membuat pinjaman ratusan ribu. Mengambil
kesempatan ke atas status isteri
sebagai penjawat awam.
Manusia normal mana boleh tahan
dengan sikap suami begini? Wanita itu memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah.
Suaminya gagal hadir setiap kali mendapat arahan mahkamah. Melarikan wang tipu.
Lesap entah ke mana.
Wanita itu sedar kini, niat yang
ikhlas semata-mata tidak cukup tanpa tindakan yang bijak. Semuanya memerlukan
ilmu dan kefahaman yang benar merujuk para ulama muktabar yang faqih (alim
dalam ilmu feqah).
Universiti Kehidupan
Mengajar Kita
Apa rasionalnya undang-undang
negara kita melarang pernikahan tanpa kebenaran sama ada di dalam ataupun di
luar negeri? Kerana ia menimbulkan terlalu banyak kesulitan pada masa akan datang.
Bukalah mata, pasanglah telinga pada kisah masyarakat. Jangan masukkan diri kita ke dalam
statistik yang sama. Justeru, amat wajar pernikahan terlarang ini perlu
disiasat oleh pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum boleh disahkan kemudian
didaftarkan di Pejabat Agama terdekat.
Menurut kajian, antara faktor
utama yang menyumbang kepada meningkatnya jumlah kahwin lari di negara kita
ialah konflik dengan ibubapa, ingin berpoligami serta tidak ambil tahu tentang
syarat dan undang-undang perkahwinan di Malaysia.
Fenomena ini makin meruncing
apabila ia turut berlaku kepada para remaja bawah umur yang mengikut pasangan
kekasihnya. Bukan satu atau dua kes bahkan semakin menjadi trend. Akhbar digital Metro bertarikh 18 Januari 2011 pernah
mensensasikan masyarakat dengan isu ini.
Remajaku, nikah ni ada dua jenis.
Nikah yang sah. Nikah yang batil. Apabila cukup rukun dan syarat, maka sahlah
nikah. Sebaliknya, jika tidak cukup rukun dan syarat, nikah itu batil. Hukumnya
haram. Contoh nikah yang batil ialah, nikah tanpa kebenaran wali. Rasulullah
SAW bersabda, “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” (Sahih sunan Abu Daud).
Tidak dapat tidak, jika hendakkan
anak dara orang, menguratlah walinya terlebih dahulu.
“Ish, berat tu!”
Ya, memang berat. Sebab amanah menjaga
anak orang bukannya benda ringan. Benda berat. Awal-awal lagi kena tunjukkan
peribadi yang bertanggung jawab. Nak ke tak nak ni?
Bukan saja perlu mendapatkan
kebenaran wali bahkan perlu juga mendapatkan kebenaran enakmen. Ianya penting demi maslahah. Terdapat
pernikahan yang mendapat kebenaran syarak seperti hadirnya wali atau berwalikan
wali hakim yang bertauliah. Namun, apabila ia dilakukan di Selatan Thailand,ia
tetap menjadi kesalahan di bawah enakmen sekiranya perkahwinan berkenaan tidak
mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Malaysia.
Saja-saja ke enakmen ni nak
susahkan orang? Sudah tentu pihak berautoriti ini ada sebab yang kukuh. Sesuai
dengan tujuan syariat yang mahukan maslahah dan mengelakkan mudarat daripada
semua orang. Semua orang berhak merasai keadilan. Sudahkah remaja mengkaji
kebaikan peraturan?
Fikirkan Sebab dan
Akibat
Remajaku, fikirlah lebih jauh.
Sanggupkah dirimu ditohmah sebagai pembawa lari anak dara orang? Label ini
bukan senang hilang walau apapun jua alasanmu. Kasihan dirimu nanti.
“Ah, lautan apipun sanggup
kurenangi err…meskipun dalam swimming
pool aku selalu lemas.”
Hmm. Cuba ‘pause’ 2 minit. Cuba
masukkan dirimu ke dalam kasut wali pengantin perempuan. Rasa nak marah tak jika ada orang
menginjak hak seorang bapa untuk menjadi wali? Pernikahan sepatutnya
menyatukan. Tapi nikah sebegini, bukankah ia makin memecahkan?
Lantas, mampukah dirimu mencari
‘sakinah’ (ketenangan) daripadanya? Bukankah ia boleh menjadi faktor pembunuh
kepada ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’ nanti? Lalu, apa yang kau cari daripada
pernikahan sebegini? Sekadar halalnya hubungan badan lelaki perempuan?
Kemudian?
Allah SWTmenjelaskan tujuan
pernikahan,
“Dan di antara tanda-tanda
kebesaran Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu
sendiri agar kamu cenderung serta berasa tenang (sakinah) dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu perasaan
kasih dan sayang (mawaddah warahmah).”
(Surah ar-Rum: 21).
Cuba cerita sikit
Apa sebenarnya masalah yang
terpendam di lubuk hatimu? Apa yang menyebabkan dirimu ingin memilih untuk
kahwin lari? Adakah kerana kau telah mencampakkan diri sendiri ke dalam hukum
wajib nikah? Takut berzina jika tidak bernikah? Siapa suruh dekati zina?
Remajaku,
Mungkin kau tertanya-tanya,
“ Islam galakkan menikah. Tapi
kenapa orang dewasa ramai yang tidak faham?”
Tanyalah kematanganmu. Tanyalah
kemampuanmu. Kau merasakan orang dewasa tidak memahamimu terutamanya ibu dan
ayah.
Begitulah juga mereka tika ini
hairan kenapa dirimu masih tidak faham-faham terhadap nasihat mereka, jangan
hampiri zina. Jika kau tak hampiri, insya-Allah kau tak kan sestress ini untuk
segera bernikah sedangkan prioritimu pada ilmu menuntut komitmen tinggi.
Satu kajian melaporkan, 17.5%
daripada respondan mengemukakan alasan pergaulan bebas, terlanjur, khalwat dan
hamil mendorong mereka untuk bernikah lari. Bagi menutup aib. Kebanyakannya di
kalangan remaja. Mampukah pernikahan yang terbina atas dasar maksiat ini
menumbuhkan berkat? Ayuh, segeralah bertaubat!
Jangan risau jika wali mujbir
tetap tidak mengizinkan kau bernikah. Tak perlu memilih untuk kahwin lari. Ada
langkah lain yang lebih bijak. Mohonlah wali hakim di mahkamah berdekatan.
Undang-undang Sukar? Belanja
Kahwin Tinggi?
Boleh jadi, kau merasakan
undang-undang dan peraturan pernikahan di negara ini tidak memahamimu. Kau
merasakan ia sulit dan menyukarkan.
Begitulah juga penggubal
undang-undang dan peraturan pening melihat sikap manusia terus-menerus ditimpa
kesusahan akibat hidupnya tiada peraturan.
Jika kau mahukan tiadanya kursus
kahwin, adakah kau menyiapkan diri dengan ilmu sebelum kahwin? Jika kau tidak sukakan prosedur
dan borang-borang, lalu apa idea dan alternatifmu bagi memastikan pernikahan
itu dapat didaftarkan, selamat daripada HIV dan sebagainya? Bukankah semua itu
untuk maslahahmu jua.
Apabila tidak mengaplikasikan undang-undang
dan peraturan, keharusan sesuatu boleh disalah guna. Bahkan, matlamat sesuatu
sukar dicapai. Ramai orang menderita kerananya.
Andai diteliti dan dikaji,
peraturan-peraturan perkahwinan yang sedia ada tidaklah begitu ketat. Enakmen
dan Akta Undang-undang Keluarga Islam yang diseragamkan di seluruh negeri telah
digubal sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kesejahteraan keluarga
terutamanya bagi generasi baru yang bakal lahir. Begitu juga bagi isteri dan
anak-anak yang sedia ada agar tidak teraniaya.
Jika kau merasakan belanja kahwin
terlalu tinggi, berbincanglah. Inilah masanya melatih kemahiran berkomunikasi
dengan bakal mentua. Selesaikan kemelut ini dengan hikmah. Percayalah, ia akan
menjadi sumber keyakinan dirimu yang luar biasa untuk berhadapan dengan 1001
lagi kemelut pada masa depan.
Fikirkan Orang Lain,
Fikirkan Masa Depan
Implikasi
nikah lari sangat membebankan. Siapa yang terlibat akan didakwa mengikut
seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di
mana pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi seribu ringgit atau 6 bulan
penjara atau kedua-duanya sekali.
Jika
terus membelakangi undang-undang, pendaftaran kelahiran anak menjadi sukar.
Kasihan anak-anak akan berair matanya melihat rakan sebaya ke sekolah.
Sedangkan dirinya , sijil kelahiranpun tiada. Sudah tentu proses pendaftaran
persekolahan akan menjadi bermasalah. Tinggi rasa rendah dirinya nanti.
Implikasi
selepas perceraian juga sangat parah. Masalah ini lebih-lebih lagi sangat
terbeban di bahu wanita. Betapa ramai wanita sudah mengalami peritnya menjadi
mangsa dan rasa teraniaya. Apabila terpaksa bercerai, hak mereka menjadi sukar
dituntut.
Sesekali,
tadahlah telinga simpati mendengar tangisan wanita yang kehilangan hak mutlak
sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang. Mereka lalu terhalang daripada
menuntut hak mut’ah, harta sepencarian, nafkah mahupun hak penjagaan anak
sebagaimana yang selayaknya diterima oleh wanita-wanita berkahwin. Ramai yang
digantung tak bertali. Mahkamah Syariah tidak mampu membela kerana wanita ini tidak
mempunyai surat nikah yang sah.
Demikian
juga apabila berlakunya kematian, pihak suami atau isteri yang kematian
pasangannya akan menghadapi kesulitan menuntut hak pusaka si mati. Hmm, banyak
betul implikasinya. Tak sanggup nak dengar lagi?
Pesanan Buatmu
Pernikahan adalah sesuatu yang sangat bermakna. Dapatkanlah senyuman
restu daripada insan-insan berharga di sekelilingmu. Sebarang keputusan
berkaitan pernikahan lebih baik dibincangkan sewajarnya. Bincangkan dengan baik
dan teratur bersama ahli keluarga. Kehidupan yang bakal ditempuhi selepas
pernikahan bukannya hanya melibatkan kau dan dia. Bahkan melibatkan keluargamu
dan keluarganya. Jadikan pernikahanmu pengerat kekeluargaan.
9 Comments
Assalamualaikum.. kahwin lari memang akan mendatangkan pelbagai masalah. Kahwin tanpa wali juga tidak sah kerana wali merupakan salah satu rukun nikah.. anyhow, kahwin lari yang mengikut syarat2 tertentu DIIKTIRAF SAH. sila rujuk links ke e-fatwa yg dikeluarkan oleh jakim di bawah.
ReplyDeletehttp://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kahwin-lari-di-selatan-thailand-0
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/perkahwinan-lari-meninggalkan-wali-lebih-dua-marhalah-mengikut-mazhab-al-syafie
Cuma berkongsi info . Trima kasih. Good article
salam. ustazah, mungkin ustazah boleh tambah solution jika mereka telah tersilap langkah ni... sebab ada remaja yang dah sedar, tapi terus dibelenggu tertanya-tanya apa sepatutnya mereka buat kalau semua ni dah berlaku?
ReplyDeleteJika amalan di utamakan.. dan meletakan Allah dalam segala urusan kita di dunia ini.. insyallah akan lebih berfikir dengan lebih baik sebelum membuat sesuatu.. :D
ReplyDeleteSubhnallah..bagos entry ni.moga msyarakat sedar ttg mslh ini.
ReplyDeleteBerfikir sebelum bertindak.
lelaki yang baik tidak akan merampas hak yang bukan miliknya..
ReplyDeletemoga gadis di luar sana berfikir sejenak sebelum membelakangkan agama dan keluarga..
Berfikirlah.......
ReplyDeleteJangan menghampiri zina tu memang betul. Tapi itu langkah pencegahan. Kalau yang dah terlanjur dan menyesal serta takut akan mengulanginya mestilah hendak segera menghalalkan perhubungan mereka lalu apa lagi langkah penyelesaian yang ada selain kahwin lari. Sudah beberapa kali meminta untuk berkahwin dengan izin ibu bapa tapi mereka enggan membenarkan dengan sebab sama seperi tertera, pentingkan mencari ilmu dahulu. Lebih sanggup anak terus bergelumang dosa? Lagipun siapa kita untuk menghukum hubungan ini sebagai itu dan ini. Hanya allah yang tahu jika niat hamba itu adalah untuk mengelakkan terus berbuat maksiat, saya yakin allah akan bantu
ReplyDeleteSaya buntu dengan permasalahan saya. Saya telah bercinta dengan teman sekampus, sehingga telah terlanjur beberapa kali. Kami sangat mencintai dan dia sangat sygkan sy. Kami terlanjur pun sy mengaku salah sy wlaupun sy seorg perempuan. Tetapi semakin lama kami tersedar segala dosa yg telah dilakukan dan bertaubat. Nyata ia sgt sukar kerana berjumpa setiap hari. Kdg2 berpegangan tidak dpt dielakkan dan keadaan bertambah burukjika lama tidak bertemu. Ingin bernikah, sudah diajukan pd keluarga namun dikata masih muda, belajar dulu. Ya Allah kami tidak mampu. Ampuni kami, kami hanya mahu berhenti berbuat dosa dan sama2 mahu meraih redha. Bantulah apa yang harus kami lakukan??
ReplyDeletecerita orang kahwin
ReplyDelete