Bezakan Mana Islam, Mana Silap Tafsiran
Seorang isteri mengadu suaminya banyak menggunakan dalil-dalil
agama untuk menghalalkan kecurangannya .
“Sampai hati abang bercuti dengan perempuan lain di Pangkor,” kata
seorang isteri sambil menahan marah.
“Dalam al-Quran, Allah suruh lelaki kahwin 4. Nak kahwin mestilah
kena ‘couple’ dulu. Kenal-kenal dulu,” hujah suaminya.
“Allah tidak adil!” Amuk si isteri.
“Kamu nusyuz. Penentang hukum Allah. Aku tak wajib lagi bagi
nafkah pada perempuan nusyuz macam kau, faham!” gertak suami. Dia juga
menyeterika perasaan isterinya dengan ancaman neraka.
“Saya nak rujuk mahkamah,” kata isteri apabila dilihatnya ruang bebincang
semakin tertutup.
“Kalau kamu adu ke pejabat agama atau mahkamah syariah, kamu tak
akan cium bau syurga. Perempuan ramai di neraka sebab tidak taat kepada
suaminya. Faham!” Ayat pedih ini dihumban ke telinga isterinya.
“Kenapa Islam diskriminasikan perempuan?” tangis si isteri
teresak-esak.
Agama si isteri terfitnah tika itu kerana dia keliru membezakan
mana Islam dan mana sikap umat Islam. Allah memberi amanah berat kepada seorang
suami untuk mendidik isterinya merasai indahnya Islam. Ironinya, banyak sikap
dan akhlak suami yang membuatkan isterinya yang kurang ilmu makin jauh dari
agama kerana tersilap menyangka Islam yang menganiaya. Mana mungkin agama suci
ini menzalimi sesiapa?! Kita yang belum cukup ilmu mengenainya.
Di Malaysia, kita bertuah apabila kes cerai-rujuk, poligami dan
nusyuz mesti diadili di mahkamah. Mahkamah berperanan sebagai badan berautoriti
yang boleh mendengar suara semua pihak dan memberi keadilan dalam kes mereka.
Enakmen kekeluargaan di Malaysia memperakui aduan isteri untuk mengelakkan
sebarang kezaliman dan ketidak adilan daripada berlaku. Ia selari dengan satu
prinsip hadis sahih, la dharar wala dhirar (Tiada kemudaratan
dan tidak boleh membalas kemudaratan).
Kita Buat, Kita Dapat
Si isteri membuka album lama. Dia teringat kembali saat-saat
sebelum bernikah dia juga selalu bercuti bersama bakal suaminya hingga terpaksa
berkrisis dengan ibubapa. Dia baru dapat membayangkan kepedihan perasaan
ibubapanya saat itu.
“Kalau betul ‘couple’ itu satu kesilapan. Kenapa aku sahaja menanggung
kesannya? Suami aku pula seronok berfoya-foya,” jerit batinnya.
Dia silap lagi membuat sangkaan. Mana ada orang dapat terus
seronok dengan dosa. Nikmatnya cuma sesaat tapi azabnya akan mendera kita
sepanjang usia. Si suami itu tidak akan menemui bahagia selagi dirinya tidak
bertaubat. Yang ditempahnya hanyalah neraka dunia yang kedua.
Saya menghadirkan contoh situasi ini agar mereka yang belum
bernikah beringat-ingat. Punca-punca kecurangan boleh dielak sejak belum
bernikah. Tidak hairanlah Islam sangat mementingkan aspek pemilihan pasangan.
Pesan Nabi, pilihlah yang beragama kamu akan beruntung.
Jika kita tidak mahu mendapat pasangan yang curang, jangan
curangkan hubungan kita dengan Allah melalui perbuatan menghampiri zina. Tiada
nikmatnya maksiat. Hanya memberi azab setiap hari bahkan juga di kemudian hari.
Analoginya, jika kita tidak mahu terkena penyakit jantung, kencing
manis dan darah tinggi ketika di usia tua, kita perlu menjaga pemakanan dan
berdoa ketika di usia muda. Inilah kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.
5 Comments
Allahuakbar. Terima kasih ustazah :'
ReplyDeleteSungguh bermakna. Kalau taknak dicurangi, jgn curang dgn Allah.
ReplyDeleteTerima kasih atas peringatan
pohon share, ustazah..ustazah,saya nk tanya..saya kurang kawan perempuan.. dan saya lebih gemar berkawan dgn lelaki atas dasar utk lihat dan berfikir mengikut cara pemikiran mereka yang kritis dan x begitu menekan seperti perempuan..tetapi saya cuma bercakap face to face apabila perlu dan ada tujuan..tetapi, saya kadang2 pernah sms mereka lu saya rasa sunyi dulu..tetapi sms berunsur lucu dan tidak menyentuh sensitiviti..adakah sikap saya ini masih tidak menjaga ikhtilat? satu lagi..saya ada 1 org kwn lelaki yg hanya akn telepon saya bila karilahir saya dan hari lahir dia..tetapi selain drpd waktu itu, dia tak pernah ganggu saya..malah, bila dia telepon saya, dia lebih bercakap tentang isu2 masa kini merangkumi agama, isu semasa dan pendapat berkenaan isu tersebut..semuaini berlaku setelah saya berterus terang dengannya berkenaan sikapnya yg suka sms dulu.. apakah tindakan yg boleh saya ambil utk cuba biarkan dia melupai saya.. tapi secara jujurnya, saya xpernah couple mahupun berkekasih..cuma masa ini, perasaan saya menginjak diri utk punyai seorang teman dlm hidup wpun saya cuba mengawal diri saya.. tq ustazah..
ReplyDeletesubhanaAllah.syukran ustazah
ReplyDeletesaya pernah terlanjur dengan gf saya..adakah dia atau saya mempunyai risiko untuk berlaku curang apabila dah kawin nanti?
ReplyDelete