Mana Ada Hidup Tanpa Perbezaan?
Adakah anda mahukan hidup tanpa
perbezaan? Ia seperti mahukan saiz jari sama panjang. Adakah anda benci pada pendapat berlainan? Ia
seperti bencikan sunnatullah sejak zaman berzaman. Jom, kita lebih positif
dengan perbezaan serta mensyukuri persamaan.
Kenapa
perlu memenatkan kepala dengan bencikan sesuatu yang ‘pasti’ terjadi? Takdir
ini tidak dapat dielakkan. Al-Quran dan hadis sahih sudah lama menceritakan
hukum alam ini.
Perhatikan tabiat-tabiat manusia ini:
1.
Nabi Daud berbeza pandangan
dengan anak kesayangannya sendiri, Nabi Sulaiman dalam isu kambing merosakkan
ladang. (Al-Anbiya’, 78-79).
2.
Nabi Muhammad SAW diberi
cadangan oleh Nabi Musa a.s. dalam peristiwa isra’.(Riwayat al-Bukhari, 3342,
Muslim, 163).
3.
Nabi Musa a.s. menegur Nabi
Khidir kerana tidak sabar dengan perlakuannya. (Surah al-Kahfi: 82).
4.
Para malaikat berebut ruh
seorang jenazah yang membunuh 99 nyawa. (Sahih al-Bukhari, 3470, Sahih Muslim,
2766).
5.
Abu Bakar dan Umar kerap
juga bertentangan pendapat antara satu sama lain. (Sahih al-Bukhari, 3661).
6.
Para imam mazhab yang 4
juga sudah sedia kita maklum sering berbeza pandangan namun jiwa saling
menghormati dan menyayangi sungguh tinggi.
Tip Bersikap Apabila Dikritik
Jika kita
dibaling kata-kata tajam oleh mereka yang berbeza pendapat, bagaimana
seharusnya kita bersikap?
Dalam dunia media
sosial hari ini, semua orang bebas menjadi ‘keyboard warrior’ dan menghunus
pelbagai tentangan dan bantahan seluas-luasnya. Kita pasti akan diuji terkena
hunusannya. Apa respon kita?
1.
Kita ada banyak kerja.
Tentu sukar untuk meneliti satu-persatu setiap komen yang dihunus setelah lelah
berkerja. Mengumpulkannya satu-persatu dan menjawabnya satu persatu akan
memakan banyak masa dan menimbunkan lagi kelelahan sedia ada. Fokus dan
utamakan dahulu kerja-kerja lain yang lebih positif seperti memenuhi undangan,
bersilaturahim dengan sanak-saudara, menulis artikel, membaca dan menulis buku,
bergembira dengan anak-anak dan sebagainya.
2.
Jangan terburu-buru membantah
siapapun yang bertentangan dengan kita. Sudah tentu kita tidak mahu menjawab
dalam emosi yang marah, emosional, dan geram. Ambil masa bertenang. Biarkan
pihak sana bercakap. Jauhi sementara suasana yang tegang. Apabila ruh sudah
dipersiapkan dengan solat dan al-Quran, barulah kita membaca setiap kritikan
secara objektif.
3.
Sediakan jiwa agar tidak
mendustakan kebenaran atau membenarkan kebatilan tidak kira dari manapun ia
datang, di pihak kita atau pihak bertentangan. Tergesa-gesa mahu menjawab balas
membuatkan kita tidak mampu memahami
mana-mana sisi kebenaran yang disampaikan oleh lawan walaupun secebis.
Lebih-lebih lagi apabila pihak lawan menyampaikan mesej dengan bahasa yang
pedas dan bermotifkan peribadi. Hikmah adalah harta mukmin yang hilang. Petiklah
ia daripada siapapun, di manapun. Nabi Sulaiman a.s yang hebat itupun sanggup merendahkan hati
untuk mengutip hikmah daripada si burung hud-hud.
4.
Usahlah kita mengharapkan
semua orang mesti berfikir seperti yang kita fikir. Ia suatu harapan yang hanya
mengecewakan. Firman Allah SWT, “Jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia
menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat
. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. (Hud: 118-119).
5.
Terima hakikat, ada isu
yang Islam benarkan kita mempunyai pelbagai pendapat. Jika anda meyakini
pendapat 1, biarkan saja pihak lain bertahan dengan pendapat 2. Semuanya dalam
daerah pahala, samada 1 atau 2 pahala. Cerdikkah kita jika mahu menghabiskan
terlalu banyak umur untuk berdebat tentangnya hingga kedua-dua pihak penat dan
lemah? Bukankah isu khilaf akan tetap mempunyai alasan dan hujah tersendiri,
ada yang lemah dan ada yang kuat, relatif/tidak sama menurut semua orang? Bukankah
hal ini akan berterusan sampai kiamat?
6.
Dalam isu khilaf, anda
mungkin memiliki sebahagian daripada kebenaran dan lawan anda juga sama.
Selalunya, kata-kata yang diperdebatkan bersifat global dan pendengarnya
bersifat emosional, lalu mereka memahami maksudnya secara salah. Namun, isu
sebegini akan segera mereda dan hilang seiring perjalanan hembusan angin.
7.
Seseorang mengkritik anda
di belakang, anda pun segera membalas. Dia membalas balik. Adakah anda ingin
terus-terusan mengikat diri dengan perdebatan yang tiada kesudahan ini? Jika
anda mula membalas kemudian anda berhenti membalas, mungkin anda dianggap salah
dan menyerah. Baik sejak awal-awal lagi, usah dilayan. Biarkan dia cakap
sorang-sorang di belakang. Orang yang suka bercakap belakang, posisinya akan
terus di belakang. Tugas anda, maju ke depan.
8.
Bukanlah sesuatu yang pelik
pada hari ini apabila seseorang itu pada asalnya berada di posisi salah.
Kemudian, kebenaran menyentuh hatinya. Dia pun memilih kebenaran itu. Jika anda
di posisi itu, jelaskan pada saat yang tepat dengan bahasa yang tepat. Ia
bahkan membawa wibawa anda naik di mata orang. Biasalah tu. Semua anak Adam
pasti pernah buat salah kan? Yang penting, akhlak segera menyahut yang benar.
Indahkan Perasaanmu
Hormatilah mereka yang sependapat dengan penuh cinta.
Hormati juga mereka yang tidak sependapat. Samada mereka bersikap keras atau
kasar, tetap hormati mereka. Jika mereka bersikap lemah lembut dan menghargai,
pujilah mereka kerana mereka membantu kita menyingkapi kebenaran. Jikalau
pendapat mereka itu kita yakin salah, tetap ucapkan terima kasih. Kenapa?
Kerana dengan sebab sikap mereka itulah kita dilatih Allah untuk sabar dan
memperkuatkan kesabaran. Bisik dalam hati,
“Terima
kasih banyak lawanku. I love you!”
Hamburan
kata-kata selaju panah, pena-pena setajam pedang yang bertubi-tubi meyerang
kita, kita tangkis sahaja dengan senyuman yang tenang. Maafkan mereka yang
keliru. Kutip sebanyak-banyaknya sisi manfaat dari setiap pengetahuan, hikmah
atau kebenaran yang ditunjukkan Rabb kepada kita melalui mereka. Tak kan tak ada langsung. Carilah. Mesti ada.
Kita akan menemui apa yang kita cari. Jika kita hanya mencari kesalahan, hanya
kesalahanlah yang kita jumpa. Begitulah sebaliknya. Carilah yang indah-indah,
akan lahir perasaan yang indah. Nikmatinya.
0 Comments