LUPA ALLAH, HIDUP SUSAH.
MULAKAN
SEKARANG!
Apa saja yang kita buat pagi tadi? Belum sempat zikir selepas
solat subuh, jam sudah desak kita pergi kerja. Dalam kereta, sibuk memikirkan
masalah. Lupa mengingati Yang Maha Menyelesai masalah.
Belum sempat sedekah pagi, matahari sudah meninggi.
Rancangnya nak solat dhuha, tapi tiba-tiba azan zuhur sudah
terdengar.Meletakkan komitmen pada diri mesti bangun tahajud. Mesti solat
witir. Tapi komitmen tu tak menjadi sejak tiga tahun lalu.
Mahu menyumbang ke Palestin, Syria, mahu menaja anak yatim di
sana, tapi ‘mahu’ saja. ‘Mahu’ itu. ‘Mahu’ ini. Perlaksanaannya? Asyik terlupa.
Terlupa sejak bertahun lamanya.
Usah tertipu dengan masa. Kita mungkin
mengharapkan dapat membaca zikir sejak fajar. Tapi harapan itu sejak bertahun-tahun lalu masih belum terlaksana.
Setiap kali habis solat subuh, kita terkocoh-kocoh mengejar urusan dunia. Lupa
zikir. Lupa al-Quran.
Kita ‘teringin’ mahu habiskan zikir
al-ma’thurat(zikir-zikir terpilih daripada al-Quran dan al-Sunnah) setiap pagi
dan petang. Namun zikir al-ma’thurat pun sudah kita lupa sejak tujuh tahun
lepas kerana ‘kurangnya’ kita menuturkannya di hati atau di lisan. Yang kita
lebih hafal, lagu Hindustan?
Habis,
kita menunggu bila untuk kembali melazimi zikir?
Tak
lama lagi, tanpa kita sedar kita mungkin dipanggil Mak Lang, Pak Ngah atau Tok
Ki, Tok Wan menunjukkan betapa tuanya kita. Saat itu, kita mungkin terbeban
dengan penyakit atau penyesalan dengan banyaknya kesempatan lepas yang kita
persiakan.
Sudah
banyak masa kita terbuang begitu sahaja tanpa zikir. Secepat satu ‘flash’
kamera sahaja. 30 tahun, 40 tahun bahkan hingga 60 tahun pun kita melalui rutin
yang sama. Kita biarkan hari, minggu, bulan dan tahun kita berlalu begitu sahaja.
Jika begini, beratus ribu tahunpun tiada ertinya untuk kita. Sampai bila kita terus begini,
sia-sia dengan masa? Saat ajal hampir tiba, menangis merenung amal tak
seberapa.
Apa lagi yang menghalang kita daripada
berzikir hari ini? Saat ini! Bersegeralah. Gunakan waktu yang masih ada supaya
dunia ini menjadi terminal pengumpulan pahala dan kita tidak tergolong dalam
golongan orang yang rugi.
MANFAAT
BERZIKIR
Ingatilah Allah! Allah akan mengingati kita
lebih banyak daripada ingatan kita terhadap-Nya. Dia Maha Mensyukuri. Dia Maha
Membalas.
Orang-orang yang berzikir akan diganjarkan
pahala yang besar. Allah Azza Wa Jalla berfirman,
وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: “...dan lelaki mahupun perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah
akan menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Surah
Al-Ahzab: 35)
Orang-orang
yang berzikir juga akan diingati Allah selama dia berzikir. Allah telah
berfirman,
فَاذْكُرُونِي
أَذْكُرْكُمْ
Maksudnya: “Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya aku (ingat) pula kepadamu.”
(Surah
Al-Baqarah: 152).
Terima
sahaja apa yang berlaku. Semua dengan izin-Nya. ‘Menerima’ itu rahsia untuk
bahagia.
Bila
kita ‘tidak menerima’ sesuatu peristiwa yang tidak diingini, kita akan
menderita penyakit ‘marah’. Bila kita ‘menerima’, ia menjadi kesembuhan
‘toleransi.’
Bila
kita ‘tidak menerima’ sesuatu yang tidak dijangka, ia akan menjadi ‘ketakutan.’
Bila kita ‘menerima’, ia akan menjadi ‘cabaran.’
Bila
kita ‘tidak menerima’ perlakukan buruk seseorang terhadap kita, ia menjadi
‘kebencian.’ Bila kita ‘menerima’, ia menjadi ‘kemaafan.’
Bila
kita ‘tidak menerima’ kejayaan seseorang, ia akan menjadi ‘hasad dengki.’ Bila
kita ‘menerima’, ia menjadi ‘inspirasi.’
‘Penerimaan’
adalah kunci mengurus kehidupan dengan baik.
DOKTOR SAKIT JIWA TERSENYUM REHAT
Jika seorang pesakit datang berjumpa dengan
doktor sakit jiwa untuk berubat, doktor yang beriman pasti akan menasihatkannya
untuk banyak berzikir. Allah telah berfirman,
الَّذِينَ آَمَنُوا
وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ
اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ
الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
(Surah
Ar-Ra’d: 28)
Ini kerana jika kita jauh dari
ibadah zikir, maka kita akan menderita jauhnya dari Allah. Apatah lagi, dewasa
ini, terlalu banyak masalah yang kita hadapi mulai dari hati dan jiwa yang
tidak pernah tenang, keluarga yang tidak harmoni, kesulitan ekonomi hinggalah
timbul rasa takut kepada syaitan dan jin.
Ubat yang paling mujarab adalah zikrullah.
Jika kita mengimani mujarabnya ubat ini, pasti setiap doktor sakit jiwa akan
tersenyum rehat.
Jangan tunding orang lain! Kita juga adalah
doktor sakit jiwa untuk diri kita sendiri.
JIKA TINGGALKAN ZIKIR…
Pernahkah kita alami?
Rumah semakin besar, tapi hati semakin sempit.
Jalan semakin jauh, tapi masjid semakin sepi.
Rakan maya beribu juta, tapi jiran sendiri tak
pernah dikenali.
Anak semakin ramai, tapi nakalnya semakin
menjadi-jadi.
Kekayaan semakin melimpah tapi kerungsingan
bertambah-tambah.
Allah telah memberi peringatan di dalam
al-Quran supaya tidak meninggalkan ibadah zikir. Jika tidak, kita akan hidup
susah. Bahkan menjadi golongan yang rugi di hari kiamat. Allah telah berfirman,
وَمَنْ
أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
أَعْمَىٰ قَالَ
رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا
وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَىٰ
Maksudnya: “Dan barangsiapa yang
berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang
sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah
ia, ‘Ya Rabbku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal
aku dahulunya seorang yang melihat?’ Allah berfirman, ‘Demikianlah, telah
datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu pula pada
hari ini pun kamu dilupakan’.”
(Surah
Taha: 124-126)
Firmannya lagi,
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ
الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang
berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (yaitu Al-Qur'an), Kami
adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi
teman yang selalu menyertainya.”
(Surah
Az-Zukhruf: 36)
Allah
juga berfirman,
يَاأَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ
وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang
beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari
mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah
orang-orang yang rugi.”
(Surah
Al-Munafiqun : 9)
1 Comments
masyaallah terkesa sangat ustazah
ReplyDelete