Ruh
Khyra terdera di alam mimpi, terhuyung hayang kembali pulang ke alam realiti.
Deru nafasnya beributan kencang. Mendadak,
Khyra terbangun. Lenanya terusik. Dia berpaling ke sisi kiri setelah gementar
melihat ke kanan. Sisa-sisa ketakutan seakan masih tertayang. Kesedihan yang
mengendap di alam bawah sedar muncul secara ganas dalam mimpinya tadi.
Khayra
meludah angin di sebelah kiri setiap kali ditimpa mimpi ngeri. Peluhnya
berjatuhan bak gerimis hujan. Air matanya berguguran bagai aliran embun di
dedaunan. Jiwanya kerapuhan oleh tayangan demi tayangan yang menakutkan.
Selimut
ditarik dengan jari-jemari yang berketaran. Terasa seram. Suasana gelap suram
di bilik itu seakan gelapnya keadaan di latar mimpi. Tiada cahaya. Udara sejuk
tidak menghalang cucuran keringat. Dia mengesat dengan lengan. Kesunyian di
sekeliling menambah kerunsingan di jiwanya.
Catatan
diari gadis Syria berkali-kali bergentanyangan datang dalam mimpi malam Khyra.
Diari yang diberikan oleh kenalan Syrianya itu bagaikan baju yang sentiasa
melekat di badannya. Sentiasa dibaca terjemahannya. Berkali-kali ia menggoncang
ketenangan. Berkali-kali ia menyakitkan perasaan. Berkali kali ia
menghantuinya, sekaligus seperti memohon simpatinya.
Namun
ternyata, bagi gadis Syria itu, lain cara pandangnya. Di mata Khyra, gadis itu
pelik sungguh!
Tulis
si gadis Syria,
‘Khalid
al-Walid, saksikanlah cucu-cicitmu ini juga segagah dirimu. Petaka besar yang
datang satu petanda bahawa kemuliaan besar akan berulang. Seperti kemuliaan
sejarah pembebasan Syria pada abad ke-7 Masihi daripada cengkaman Byzantine.
Secerah api pertempuran Yarmuk yang mengakhiri kezaliman kisah-kisah semalam. Secerah-cerah
cahaya matahari, datang selepas gelapnya malam.'
Pernafasan
Khyra berombak resah. Dia seakan sedang berada di dunia gadis itu. Wajah-wajah
bengis dan hiruk pikuk suara-suara memohon pembelaan seakan bergayutan di mata
dan telinganya. Dia seperti dapat menyaksikan segalanya dengan bisu.
Terkebil-kebil mata Khyra, seakan dapat melihat saat gadis itu disentap
purdahnya oleh seorang askar berwajah singa. Terserlah pipi seputih
kapas,sehalus sutera. Tersingkap bibir mungil gadis itu yang kecil bak limau
seulas, merah bak delima merekah. Serta-merta, tangan kotor si askar terpaku di
laras senapangnya. Hujung bibir sebelah kirinya terjungkit sedikit ke atas.
Mata hitamnya ikut berlari ke arah si gadis tak berdaya. Matanya berbinar-binar
keghairahan.
Mendadak,
lelaki itu cuba mendakap si gadis. Gadis itu menampar mukanya. Dengan geram,
lelaki itu menggari tangan si gadis. Kemudian, mencabut kuku-kuku tangan dan
kaki gadis itu dengan pisau rambo di poketnya. Gadis itu mengerang kesakitan
sekaligus terjelopok ke tanah. Azabnya tidak terkira. Dia menjerit memanggil
nama Tuhannya. Dia menggelupur seperti kambing dilapah kulitnya hidup-hidup
dalam ikatan gari besi itu. Terdengar suara esak tangis adik kecilnya yang
menyaksikan penderitaan kakaknya. Tiada sesiapa di situ kecuali dia. Khyra
bagai dirodok matanya di dunia berbeza.
'Kebinatangan
apakah ini?' jerit batin Khyra, sukar percaya.
Setelah itu, gari dibuka.
Khyra yang menyaksikan peristiwa itu di alam bawah sedarnya, menyangka gadis
yang diseksa itu akan menyerah. Tambahan pula, andainya gadis itu tidak rela
diperkosa, apa saja pilihan yang ada, selain daripada menyerah?
'Adakah
dia akan senasib dengan Zainab al-Husni dari Homs yang dikerat empat badannya
kerana enggan dinoda?' fikir Khyra sambil membengkokkan kuku tangan dan kakinya
seakan menjiwai keperitan yang sedang dideritai gadis itu.
'Adakah
dia mahu menjadi seperti ramai tawanan wanita Syria yang hilang jejak entah ke
mana?'
'Atau
menjadi sebahagian daripada mayat-mayat terdampar di pesisiran pantai Turki dan
Eropah?'
'Atau
dia ingin menjadi mayat terseksa yang dilambung gelombang laut yang turun naik
dan bergulung gulung di Mediteranean?'
'Ataupun,
dia ingin menjadi orang yang dipaksa menukar syahadahnya kepada menyembah
manusia?'
"Pilihan
terakhir ini paling ‘gila’!" Kyra seakan dapat mendengar suara hati gadis
itu menggetus sinis.
Ternyata,
gadis itu terpaksa membuat pilihan. Pilihan yang lebih mulia adalah mati, jika
dibandingkan dengan membiarkan dirinya jatuh ke lembah paling hina sebagai
ratahan hina sang singa. Dengan nekad membulat tekad, dia lantas menerjuni
samudera Latakia. Airnya sedang pasang. Ombaknya beralun ganas seakan
kemarahan.
“Ukhtiiiiii!”
Terdengar
jeritan seorang gadis kecil dalam lingkungan 6 tahun. Wajah polosnya secantik
kakaknya. Khyra menggigil bimbang melihat gadis kecil itu sedang menyembunyikan
sebahagian badannya di belakang dinding rumah. Kakinya terpaku di situ
menyaksikan penderaan ke atas kakaknya sejak awal, bagai menanti-nanti peluang
membela.
Askar itu
menoleh dan menyeringai aneh sambil menanti mangsa seterusnya.
---------------------------------------
INI
GILA!!!
Kisah
penderitaan wanita Syria dan pembelaan wanita Malaysia.
Novel
terbaru Ustazah Fatimah Syarha.
Jika
anda berhajat membaca sambungan novel ini, katakan:
#Inigila.
Pray4Syria.
0 Comments