![]() |
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image. |
Di keheningan pagi, suasana mulanya tenang di Jabatan Kecemasan. Tiada
pesakit yang baru datang. Doktor oncall yang
bertugas bolehlah melelapkan mata seketika. Lelapnya tidak lama apabila dia
segera dikejutkan oleh petugas lain.
“Doktor!”
“Doktor!”
Ada
pesakit baru masuk. Seorang lelaki berusia lewat 40-an mengalami sesak nafas
dan sakit di dada. Keadaannya amat kritikal. Mukanya pucat putih. Peluh dingin
membasahi badannya. Rekod perubatannya diperiksa. Ia menunjukkan dia pernah
mendapat serangan jantung sebanyak dua kali tahun lalu.
Suasana Jabatan Kecemasan
tiba-tiba menjadi gawat setelah lelaki itu rebah dan tidak sedarkan diri. Resuscitation
(pertolongan cemas) dimulakan serta-merta. Keadaannya semakin teruk. Kadar
oksigen dalam badannya menunjukkan bacaan minimum. Tekanan darahnya direkodkan.
Bibirnya menjadi pucat kebiruan.
Paparan skrin
menunjukkan jantungnya mengalami ventricular fibrillation. Keadaan
jantung seperti ini tidak efektif. Jantung seperti tiada fungsi. Ia boleh
berhenti bila-bila masa sahaja.
Lalu, doktor bertugas
itu memegang alat yang disebut sebagai defibrilator dan menekan ke atas
dadanya. Satu arus elektrik diberikan untuk menyahneutralkan degupan tadi.
Setelah itu, jantungnya kembali berdegup. Degupan jantung hampir normal, namun
ia terlalu lemah. Masih memerlukan bantuan ubat-ubat perangsang untuk bertahan.
Lelaki itu berjaya
diselamatkan, dengan izin Allah SWT. Allah masih memberi nyawa kepada seseorang
bererti Allah SWT masih memberi kesempatan untuk bertaubat dan menambahkan
pahala dengan sisa-sisa hidup yang ada. Terpulanglah kepada dirinya bagaimana
mahu mensyukuri nikmat usia yang masih dikurnia.
Situasi ini biasa
terjadi di hospital. Ada suatu lagi situasi yang biasa terjadi di rumah kita.
Sering terjadi. Nyaris sama seperti situasi di hospital tadi. Apakah ia? Sakit
jiwa.
Setiap hari, setiap
orang akan mengalami suasana jiwa yang pelbagai. Jiwa itu semakin lama semakin
sakit, kian sakit dan hampir mati jika tidak segera disedarkan. Adakah kita menyedarinya?
Kayu ukurnya pada akhlak dan tanggung jawab kita kepada orang sekeliling.
Mudahkah kita marah, menghukum, melabel? Ia cerminan ‘penyakit’ yang ada dalam
jiwa.
Suatu hari, di
keheningan pagi, seorang lelaki baru sahaja ingin mengejutkan keluarganya. Dia
pula dikejutkan oleh ketukan bertalu-talu di pintu rumahnya.
Jirannya terkocoh-kocoh
datang memberitahu ada seorang ayah sedang meracau. Macam histeria. Hanya kerana
anaknya tidak membawa pulang walau 1A dalam peperiksaan.
Si ayah berada dalam
keadaan jiwa yang agak parah. Tiada harapan. Tiada kasih sayang. Tiada perasaan
cinta. Apatah lagi cinta kepada ibadat buat Sang Pencipta. Jiwanya penuh dengan
putus asa. Semangatnya hancur luluh.
Pelbagai ujian menimpa
dirinya. Habis kontrak. Tiada kerja. Dikejar pengutip hutang. Jiwanya begitu
terseksa dengan setiap ujian yang menimpa. Dia seperti tidak ada jalan keluar.
Umpama terperangkap di sebuah lorong sunyi dan gelap gelita.
Dia pernah cuba terjun
bangunan dan menelan berpuluh-puluh biji Panadol sekaligus. Ia tidak berjaya
merenggut nyawanya. Bahkan dia mengalami kecederaan parah dan penyakit lain
pula. Dia pernah mengambil racun Paraquot untuk menamatkan hayatnya namun berjaya
digagalkan keluarganya.
Semua tindakan itu
bermula daripada ‘cara fikir’ dan ‘sikap’ setiap hari tatkala berhadapan ujian.
‘Cara fikir’ dan ‘sikap’ itu membesar hari demi hari sehingga seseorang
memiliki jiwa yang tidak berasa reda, berputus asa dan asyik menyalahkan Tuhan.
‘Sakit’ dalam jiwa itu akhirnya meletup menjadi ‘sakit’ pada fizikal. Ya, bukan
‘sakit jiwa’ itu satu-satunya punca ‘sakit fizikal’. Namun, kajian dan realiti
yang akan dihampar dalam buku ini akan membuka mata kita.
Berbalik kepada lelaki
tadi. Rentak bahaya pada jiwanya perlu dinyahneutralkan. Ia perlu digantikan
dengan arus yang normal, agar jiwanya bertambah sihat. Jiwanya perlu diberi
renjatan defibrillator untuk memulihkan semula rentak jiwanya yang hampir mati.
Dengan sentuhan agama, dia
berjaya diselamatkan, dengan izin Allah SWT. Setelah itu, dia telah mendapatkan
semula jiwanya yang baru. Penuh dengan kasih sayang. Dapat mengenal hakikat
hidup ini. Alhamdulillah.
Semoga jiwa kita semua
‘didefib’ hari ini. Jangan sampai ‘sakit’nya tidak dikesan awal. Bahaya nanti!
-------------------------------
[Petikan buku 'DEFIBRILLATE YOUR HEART' - AKAN TERBIT! (InsyaAllah)]
www.bukuonlineterbaik.com | FB - Fatimah Syarha | IG - Fatimah Syarha
1 Comments
Terbaik! Moga terus bermanfaat buat ummah!
ReplyDelete