Ramai daripada
kita yang beranggapan bahawa peperiksaan di sekolah adalah penentu segalanya.
Mereka akan bersungguh-sungguh di sekolah dan berusaha untuk memperoleh
mencapai keputusan yang membanggakan bagi membolehkan mereka keluar sekolah
dengan membawa satu ‘tiket’ bahawa mereka akan berjaya untuk peringkat
seterusnya.
Sesungguhnya proses pembelajaran itu tidak akan berhenti selagi mana
kita masih hidup sebagai seorang manusia. Bukan semua yang dipelajari disekolah
itu merupakan titik permulaan bagi mereka untuk meneruskan kehidupan. Akan
tetapi ia merupakan satu permulaan bagi mereka meneruskan semangat untuk terus
berhadapan dengan dunia yang sebenar. Hakikatnya, realiti yang berlaku dalam
kehidupan hari ini merupakan ‘sekolah’ bagi mereka untuk mempelajari sesuatu
yang tidak akan boleh dijumpai di dalam kelas.
Kebanyakan pelajar yakin bahawa sekiranya mereka berjaya dengan
cemerlang bagi peperiksaan SPM atau STPM ini akan membolehkan mereka untuk
pergi kemana sahaja yang mereka inginkan. Apa yang lebih parah lagi ialah
apabila mereka cuba untuk memperkecilkan golongan yang kurang berjaya dalam
peperiksaan tersebut. Ternyata pelajar-pelajar ini masih belum memahami cabaran
sebenar dunia hari ini yang tidak seindah seperti yang diceritakan didalam
novel-novel atau drama-drama melayu yang di tayangkan di kaca televisyen.
Seharusnya apa yang mereka perlu lakukan adalah keluar dan pergi mencari
peluang-peluang baru untuk mereka terokai. Peluang untuk belajar tidaklah
datang bergolek. Ilmu itu perlu dicari dan perlu dipelajari sejajar dengan
hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud :
“Menuntut
ilmu adalah wajib bagi setiap orang Muslim” – Hadis Riwayat Bukhari
Berdasarkan
daripada hadis tersebut kita boleh lihat dan mengambil iktibar daripada sejarah
para sahabat yang tidak pernah lelah untuk menuntut ilmu. Mereka perlu berjalan
sejauh beratus-ratus kilometer bagi membolehkan mereka mendalami sesuatu ilmu.
Kebanyakan golongan yang berjaya
yang ada pada hari ini juga bukanlah datangnya daripada golongan yang cemerlang
didalam peperiksaan. Steve Jobs, Mark Zuckerberg dan lain-lain lagi yang boleh
menjadi inspirasi bagi anak muda untuk terus bangkit dan tidak menyerah kalah
di saat kita merasakan bahawa tiada harapan lagi walaupun tidak berjaya di alam
persekolahan. Oleh itu, kegagalan dalam peperiksaan bukanlah satu penamat bagi
seseorang untuk tidak berjaya pada masa akan datang.
Memetik kata-kata seorang penulis novel dari negara Indonesia Pramoedya Ananta
Toer , “Apalah guna
sekolah-sekolah didirikan; kalau tidak dapat mengajarkan yang mana benar, dan
yang mana tidak.” Penyataan ini dapat dibuktikan dengan fungsi guru di
institusi-institusi pendidikan yang ada pada hari ini bukan sahaja menekankan
aspek kurikulum dan ko-kurikulum disekolah, mereka juga berperanan bagi
menanamkan nilai-nilai moral dan estetika yang boleh dijadikan amalan
sepanjang.
Tidak kurang
dengan aspek nilai agama yang amat penting supaya mereka yakin dan percaya
tidak ada kekuasaan lain yang boleh membantu mereka dalam apa keadaan sekalipun
dan tiada kekuasaan lain yang boleh menjadikan sesuatu itu mustahil bagi-Nya
melainkan Dia.
Matlamat
hidup bukanlah terhenti di sekolah. Ianya satu jangka masa panjang yang perlu
di rancang dan di atur dengan teliti agar setiap daripada rancangan tersebut
berjaya dan yang pasti kita tidak lupa pada mereka yang tidak henti menyokong
daripada belakang iaitu ibu dan bapa kita yang sentiasa berkorban apa sahaja
demi memenuhi keperluan anak-anak mereka.
Ditulis oleh,
Nabihah Razi,
Universiti Sains Islam Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia
Diterbitkan oleh Sinar Harian
Mac 2016.
sumber : facebook.com
0 Comments