![]() |
Illustration by Kayla Harren |
Remajaku sayang,
Seronok tak disayangi mak abah?
Seronok tak disayangi kawan-kawan?
Seronok tak disayangi majikan?
Mestilah seronok. Hanya orang yang
‘kurang normal’ mungkin berasa tidak seronok. Kita memberi ‘sayang’, maka kita
mendapat ‘sayang’ mereka.
Seronoknya disayangi manusia,
apatah lagi disayangi Pencipta manusia. Bagaimana memberi ‘sayang’ kepada Raja
sekalian alam? Agar kita mendapat ‘sayang’-Nya pula.
Tarbiyah Diri Bersifat Ibaadur
Rahman
Ada sifat-sifat yang perlu kita
proses biar masuk ke dalam diri. Jika kita memiliki sifat-sifat ini, ia akan
melayakkan kita menjadi salah seorang hamba kesayangan Tuhan. Al-Quran
menyebutnya sebagai i’baadur rahman.
I’baadur
Rahman bermaksud, hamba Allah yang Maha Penyayang. Kalau ibubapa sayangkan
anak, ada yang memanggil nama manja buat anaknya, seperti anak ummi atau anak
abi, sayang ummi, sayang abi. Ada juga yang menyebutnya baby mama atau baby papa.
Ibubapa mendekatkan nama si anak dengan nama mereka, tanda sangat sayang.
Hatta besarnya kecintaan ibu atau
ayah kepada anak boleh kita lihat pada nama sandaran, seperti Abu Zahid, Ummu
Abdillah, Abu Hannan, Ummu Salamah, dan banyak lagi. Begitu juga cintanya anak
kepada ayahnya. Disandarkan namanya kepada nama ibubapanya. Contohnya Ibnul
Qayyim, Ibnu Umar, Ibnu Maryam dan sebagainya.
I’baadur
Rahman. Subhanallah, bertempel
nama hamba yang hina dengan nama Allah yang Maha Sempurna. Sangat istimewa.
Sudah tentu bukan calang-calang usaha yang mesti kita bayar untuk mendapatkan
keistimewaan begini. Betul?
Jom Jadi Hamba Kesayangan Ar-Rahman
Kita ‘mampu’ menisbahkan nama kita sebagai ibaadur Rahman, tapi ‘mampu’kah kita
membuatkan Allah mengiktiraf kehambaan kita? Kita tidak mahu sekadar mengaku di
lidah yang kita ini adalah ibadur Rahman
tapi akhlak dan perlakuan kita seperti ibadus
syaiton. Nauzubillah. Rugi dunia
akhirat.
Kita mahu Allah pun menganggap kita layak
dengan nisbah sehebat ibadur Rahman.
Ini yang kita nak sama-sama usahakan. Indahnya jika kita sama-sama diiktiraf
oleh Allah SWT sebagai hamba yang cukup syarat untuk mendapat rahmat dari arah
kanan, kiri, atas dan bawah.
Dalam Surah al-Furqan, ayat 63
hingga 77, Allah mendedahkan rahsianya. Ada 12 sifat ibaadur Rahman yang mesti kita buru untuk menghias peribadi.
Tidak Sombong
Sifat ibadur Rahman yang pertama, berjalan di muka bumi dalam keadaan
rendah hati. Tawadhuk. Orang yang tawadhuk berjalan dalam keadaan rendah hati,
sopan, berwibawa dan terhormat. Tidak rasa sombong, besar diri, dan tidak
bongkak.
Orang yang sombong suka
merendah-rendahkan orang lain. Seakan-akan mereka tengok tanahpun dengan rasa
hina, sambil hati mengejek, “ Hei tanah. Kau rendah. Aku tinggi.”
Kalaulah tanah boleh bercakap,
mungkin tanah membidas balik, “Tak sedar ke, kau tu asal daripada tanah. Nanti
balik jadi tanah. Siaplah kau masa tu.”
Orang yang tiada sifat tawadhuk,
apabila melihat sesama manusia, sering membanding-bandingkan.
“Aku anak Datuk X, mana layak jalan
dengan orang biasa?”
“Kulit aku licin, kulit dia penuh pigmentasi,
he, he.”
“Kereta aku Vios, kereta dia Viva
je?”
“Rumah aku banglo. Rasa geli pula
nak masuk ke dalam rumah teres macam ni.”
Ops, periksa hati!
Orang bercakap dengan kita, jangan kita buat
jelingan benci. Itu cerminan sombong diri. Kalau terbuat, kenalah minta maaf.
Lembutkan bahasa, maniskan wajah. Biar orang rasa diraikan dan dimuliakan.
Analogi al-Quran
Allah menegur rasa sombong diri dalam
surah al-Isra’, ayat 37. Maksudnya,
“Janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”
Berbisa sungguh analogi al-Quran.
Tinggi manalah sangat kita ni untuk berlagak sombong. Setinggi manapun pangkat
kita, kalau kita panjangkan kaki, tidak daya pun hendak menembusi tanah. Kalau
kita julurkan leher, tidak daya pun hendak menandingi gunung.
Sikap membangga diri hanya membuatkan
diri kita tidak disayangi manusia. Begitu juga tidak disayangi Allah dan Rasul.
Wasiat Luqman
Kalau kita sekarang ini menjadi
abang atau kakak, ingatkan adik-adik kita. Hidup lebih tenang dengan tawadhuk.
Kalau kita menjadi kawan, ingatkan kawan-kawan kita. Jom sama-sama membina
sifat tawadhuk. Di fasa mendepan, remaja bakal menjadi ayah dan ibu.
Ingatkanlah generasi kita tentang kepentingan sifat tawadhuk.
Sama-samalah kita mencari inspirasi
daripada wasiat Luqman kepada anaknya di dalam al-Quran,
“Janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah kepada manusia. Janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan. Rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” [Surah luqman 18-19]
Bagaimana Berjalan Tawadhuk?
Kita jelas bahawa sifat pertama ibadur Rahman, berjalan dengan tawadhuk.
Tapi bagaimana cara jalannya? Jika kita mengambil zahir ayat ini sahaja, tanpa
mengikut petunjuk sunnah Nabi SAW, kita akan terkongkong dengan tafsiran sempit
akal kita. Mujurlah kita ada Nabi untuk menjelaskan maksud al-Quran dengan
terang.
Apa yang dimaksudkan dengan berjalan tawadhuk?
Ada satu kisah menarik. Sayyidina Umar al-Khattab melihat seorang pemuda
berjalan perlahan-lahan. Umar terus bertanya,
“Ya
syeikh, sakit ko ni?” tanya Umar.
Umar cakap Arab. Saya terjemah ikut
dialek mak mertua saya.
“Ish,
dok la..ambo tok sakit gapo pun,” balas pemuda itu.
Umar lalu berkata, “Kalau dok sakit, jange jalle gittu.”
Umar tidak mahu orang Islam
menganggap orang salih dan bertakwa mesti berjalan seperti orang lemah. Orang
Islam tidak berjalan seperti orang tidak cukup zat lantaran salah faham
terhadap tafsir ayat.
Suatu ketika yang lain, selepas solat berjemaah,
Umar melihat seorang lelaki melembikkan tengkuknya. Tergeleng-geleng kepalanya.
Tampak khusyuk betul bacaan doanya. Umar lalu melempar dengan biji jagung.
Beliau berkata, “Apa masalah kamu ini? Tegakkan kepala. Kekhusyukan itu dalam
hati bukan di leher.”
Jalan Si Pemberani
Generasi awal menterjemahkan sifat
tawadhuk yang menakjubkan. Berjalan dengan tawadhuk bukan bererti berjalan
terbongkok-bongkok. Itu jalan orang sakit. Nabi tidak berjalan seperti itu.
Para sahabatpun tidak berjalan seperti itu.
Sayyidina Ali bin Abu Thalib
meriwayatkan, Nabi SAW berjalan seperti menuruni bukit. Berkata Ibnul Qayyim
al-Jauziyah dalam Zaadul Ma’ad untuk
menggambarkan cara berjalan Nabi, “Ini cara berjalan orang yang penuh semangat
dan pemberani.”
Berkata Abu Hurairah, “Aku tidak
melihat seseorang yang lebih cepat jalannya daripada baginda, seakan-akan bumi
menjadi turun di hadapan baginda.”
Syeikh al-Qaradhawi menjelaskan
lanjut dalam bukunya Ibadur Rahman,
“Baginda tidak berjalan seperti orang sakit. Tidak berjalan lambat. Jalannya
cepat tapi tidaklah terlalu cepat. Jika terlalu cepat, itu cara berjalan yang
menghilangkan kewibawaan. Cara berjalan baginda sederhana, tidak terlalu cepat.
Tidak terlalu lambat. Inilah cara berjalan orang mukmin.”
Tawadhuk Umar
Dalam satu kisah lain, seorang
sahabiah melihat sekumpulan anak muda. Jalannya perlahan-lahan.
“Anok
sapo la tu…” sahabiah ini tertanya-tanya.
Kawannya menjawab, “Jangan
main-main. Itu pemuda ahli ibadah. Geng-geng hebat tu.”
Sahabiah ini pelik. Beliau berasa
seperti ada yang tidak kena dengan cara berjalan mereka. Dia pun berkata, “Demi
Allah, jika berjalan, Umar adalah orang yang paling cepat jalannya. Jika
berkata, suaranya paling lantang. Jika memukul, pukulannya menyakitkan. Dia
juga seorang ahli ibadah yang sejati.”
Inilah juga yang dimaksudkan dengan
berjalan dengan tawadhuk. Ia tidak bermaksud berjalan dengan lambat, lemah dan
sakit. Bahkan orang Muslim berjalan dengan wibawa, nampak kekuatan, cepatkan
langkah kaki. Bukan terlalu cepat.
Tapi kena sesuaikan juga dengan perawakan, umur
dan kemampuan. Tidak bolehlah kita mendesak Atok kita yang berumur 85 tahun
berjalan seperti ini, betul tak? Jom, berjalan di atas muka bumi dengan jiwa
tawadhuk.
0 Comments