![]() |
Sumber foto: Google Image |
Maksiat Membuatkan
Diri Kita Dibenci
Kenapa bila orang buat baik,
dia berani buat terang-terangan? Kenapa bila orang buat maksiat, dia tak berani
buat depan orang? Fitrah! Manusia senang
dengan kebaikan. Benci dengan maksiat.
Ada juga orang yang berani buat
maksiat terang-terangan. Orang lain senang dengannya? Tidak! Allah pun
lebih-lebih lagi tidak senang dengannya.
Berkata Imam Syafie, “Kamu sekalian
hendaklah menghindari kebencian kaum muslimin.” “Bagaimana ia boleh berlaku?”
tanya yang lain. “Seseorang yang melakukan maksiat, Allah akan menumbuhkan rasa
benci muslim yang lain terhadapnya.”
Maksiat Menghalang
Masuknya Ilmu Pengetahuan
Imam Malik memberi nasihat
yang layak ditulis dengan tinta emas kepada Imam Syafie. Katanya, “Allah telah
mencerahkanmu dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, jangan sekali-kali memadamnya
dengan kemaksiatan.”
Imam
Syafie pernah mengadu kepada gurunya Waki’ tentang sukarnya hafazannya kali
ini. Lalu berkata Waki’, “Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menembusi hati yang
sedang berbuat maksiat.”
Maksiat Menggelapkan
Hati dan Wajah
Ibnu
Abbas berkata, “ Maksiat menyebabkan kegelapan di wajah dan di hati. Wujud
kebencian orang lain terhadap kita, tahap kesihatan badan merosot dan
menghadapi kesulitan daripada aspek ekonomi.”
“Sebaliknya,
kebajikan akan mencerahkan wajah, menjernihkan hati, akan dikasihi orang lain,
ekonomi meningkat dan dimurahkan rezeki.”
Allah
SWT mengingatkan, “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan hati
mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya,
dan bagi mereka pula disediakan azab seksaan yang amat besar.” (Surah
al-Baqarah: 7).
Maksiat Punca
Kebinasaan
Mari kita belajar daripada sejarah.
Maksiat menjadi punca kebinasaan umat terdahulu.
Iblis diusir dari syurga kerana
maksiat.
Kaum Nabi Nuh ditenggelamkan banjir
kerana maksiat.
Firaun dan tenteranya dilemaskan ke
dalam lautan kerana maksiat.
Kaum Sadom diterbalikkan bumi
kerana maksiat homoseksnya.
Kaum Ad dilenyapkan rebut kerana
maksiat.
Kaum Bani Israel dimurkai Allah
kerana maksiat.
Nabi Muhammad SAW mengingatkan,
“Apabila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberi azab-Nya
untuk semua.” (HR Ahmad).
“Dan Kami tidak menganiaya mereka,
tetapi menganiaya diri sendiri.” (Surah Hud: 101).
Allah yang Maha Adil hanya
menjalankan keadilan-Nya. Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Yang cintakan
maksiat diberikan pembalasan dan azab.
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala
bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia. Moga-moga mereka kembali.” (Surah al-Rum: 41).
Lazatkah Maksiat?
Habis tu, di mana lazatnya maksiat
hingga ramai orang tertambat?
Lupa tentang akhirat! Itulah
penyebab. Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziah, “Anda akan mendapat murka Allah SWT
sebab berbangga dengan maksiat dan sambil lewa terhadap malaikat yang
menyaksikan dan mencatat kelakuan buruk anda.”
Kita semua tidak maksum. Tidak
terlepas daripada melakukan maksiat atau derhaka kepada Allah. Samada besar
atau kecil. Dosa-dosa kecil yang kita biasakan boleh membesar menjadi maksiat
yang sangat dimurkai. Ia boleh membinasakan.
Di sekeliling, terlalu banyak
potensi maksiat yang berkemungkinan telah kita lakukan. Firman Allah SWT,
“Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan
mengatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan
yang sah tentangnya, dan kamu pula menyangka itu hanya perkara kecil, padahal
di sisi hukum Allah, ianya adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah al-Nur:
15).
Astargfirullahal
azhim. Apa yang terdaya, jadikan munajat dan ‘istighfar’ itu satu ulam
harian yang wajib diamalkan. Sudikah Allah menerima taubat kita? Hmm, kalau
kita fikir Allah tidak sudi mengampuni, bukankah fikiran itu hanya akan
membebani diri? Yakinlah, Dia Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat.
Carilah Kemuliaan dengan Taat, Bukan dengan Maksiat
Mungkin masih ada di kalangan kita
yang sengaja menambat dirinya dengan maksiat kerana mahu diterima oleh
kumpulannya yang sekepala. Diterima oleh ahli kumpulan bagaikan satu tujuan dan
satu kemuliaan. Setakat manalah mulianya penerimaan manusia? Tak ke
mana-mana pun.
Jika hajatkan kemuliaan, di sisi
Allah ada segala kemuliaan.
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan,
(maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan mematuhi perintah Allah), kerana
bagi Allah jugalah (Pemilik) segala kemuliaan.” (Surah Fathir: 10).
Allah Tahu Meskipun Kita Sembunyikan
Nabi mendedahkan, “Terdapat di
kalangan umatku pada hari kiamat kelak, mereka mempunyai bekal kebajikan yang
banyak sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah menjadikan semua pahala kebajikan
itu seumpama debu-debu yang
berterbangan.”
Thauban bertanya, “Adakah seperti
kami kerana kami tidak tahu?” Rasulullah SAW bersabda lagi, “Mereka ialah
saudara-saudara kamu sekalian. Mereka melakukan solat malam seperti kamu semua,
tetapi apabila mereka bersendirian, mereka melakukan larangan-larangan Allah.”
(HR Ibnu Majah).
Tidak perlu kita lakukan maksiat di
kala sembunyi atau terang. Sebabnya, kita sentiasa terkepung oleh CCTV Allah di
mana-mana sahaja.
0 Comments